WHITE HOUSE DOWN (2013)
PENGARAH Roland Emmerich memang suka meletupkan bangunan. Dalam Godzilla (1998), dia menghancurkan seluruh Manhattan. Dalam The Day After Tomorrow (2004) pula, tugu The Statue of Liberty menjadi mangsa.
Emmerich juga mengambil kepercayaan kaum Mayan untuk subjek filem 2012 (2009) di mana kiamat berlaku. Bagaimanapun, sebelum filem-filem itu terhasil, pengarah ini terlebih dulu dikenali menerusi Independence Day (1996).
Dalam filem tersebut, White House diletupkan dan Amerika Syarikat diserang makhluk asing. Nampaknya, Emmerich masih belum puas meletupkan kediaman rasmi Presiden itu dan melakukannya sekali lagi dalam White House Down.
Benar, produk-produk Emmerich dilabel sebagai blokbuster musim panas yang dihasilkan untuk penonton bersuka-suka. Kita sudah boleh mengagak apa yang bakal ditawarkan dan penamat yang menggembirakan di penghujungnya.
Soalnya, adakah White House Down filem hiburan yang baik, atau sekadar okay, atau tidak perlu diambil peduli?
Apatah lagi, filem ini muncul kurang enam bulan selepas Olympus Has Fallen ditayangkan. Filem lakonan Gerard Butler itu mempunyai tema yang sama - tentang pencerobohan White House dan serangan pengganas.
Dari segi masa, sudah tentu Olympus Has Fallen mendahului White House Down. Malah, mungkin ada penonton yang terkeliru menyangkakan dua filem ini sebagai filem yang sama atau sekuel, tetapi sebenarnya ia tiada kaitan langsung.
Bagaimanapun, kerana saya tidak berkesempatan menonton Olympus Has Fallen, saya tidak akan membuat perbandingan, sebaliknya menilai White House Down atas kapasitinya sendiri.
White House Down mengisahkan John Cale (lakonan Channing Tatum) menghadiri temu duga di jabatan perkhidmatan sulit White House. Mempunyai rekod kerja yang kurang baik serta kelulusan akademik yang lemah, peluangnya tipis walaupun mempunyai kenalan yang bekerja di situ.
Pada hari yang sama, John membawa sekali anaknya, Emily (Joey King) untuk lawatan ke White House. Emily merupakan peminat setia politik Amerika dan menyanjungi Presiden James Sawyer (Jamie Foxx) yang dianggapnya wira kerana 'berjaya membawa pulang' bapanya yang bertugas di Afghanistan.
Malang tidak berbau apabila pada hari itu, White House diserang sekumpulan pengganas. Tiada kena-mengena dengan Al-Qaeda, sebaliknya rancangan orang dalam sendiri atas motif dendam.
Ketika Independence Day ditayangkan 17 tahun lalu, perasaan melihat White House dibom memang mendebarkan. Justeru, menyaksikan perkara yang sama diulang kembali sudah tidak lagi mengujakan - maksud saya dari aspek kesan khasnya. Ia kelihatan 'memenatkan' dan tidak menghairankan.
White House Down juga akan mengingatkan penonton kepada siri Die Hard (1998-2013), terutamanya yang pertama. Bruce Willis yang mempunyai lebih kredibiliti sebagai pelakon, mungkin lebih dipercayai dan diyakini sebagai hero dan bapa berbanding Tatum.
Banyak harta benda yang musnah dalam White House Down dan kita boleh mengagak bajet besar yang digunakan adalah sebahagiannya untuk meletupkan set. Dari aspek pembikinan dan kesan khasnya, tiada sebarang revolusi di situ.
Sepanjang dua jam menonton, ia boleh diklasifikasikan sebagai filem aksi yang standard - tentang perlumbaan untuk melengkapkan misi sebelum segalanya berakhir. Tiada satu pun dalam filem ini yang tidak boleh kita teka, kecuali mungkin penjahat sebenar yang didedahkan di hujung cerita.
Walaupun penulis James Vanderbilt tidak mahu naskhah ini dilihat sebagai naskhah politik, namun dia tetap menyelitkan agenda di sebalik motif sebenar penaklukan kuasa di White House. Begitupun, idea itu tidak begitu 'dibeli' kerana aspek hiburan dan drama yang stereotaip lebih dititik beratkan.
Meneliti barisan pelakon, sudah tentu White House Down boleh menang dari segi kutipan di pawagam. Peminat Tatum tentu lebih seronok melihat susuk tubuh sasa aktor ini berbanding mutu sebenar persembahannya, yang sebenarnya tidaklah teruk tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan.
Tiada kedalaman pada watak Foxx sebagai Presiden Sawyer. Namun gandingannya dengan Tatum semasa babak melepaskan diri dari White House agak menghiburkan. Lakonan Joey King sebagai Emily pula meyakinkan, tetapi mungkin kerana dia kanak-kanak, penilaian penonton terhadapnya tidak kritikal.
Barisan pelakon lain pula hanya melakukan apa yang mereka patut lakukan, terutamanya kumpulan penjahat yang kelihatan tipikal menerusi raut wajah yang memang jahat, selain rupa paras yang tidak terurus dan lengan bertatu.
Menjawab soalan yang dikemukan terlebih awal tadi, adakah White House Down filem hiburan yang baik? Bagi saya, ia terlalu biasa dan boleh membosankan kerana pengulangannya. Perlukah diambil peduli? Jika anda mahu membuang masa dua jam dan tidak berfikir apa-apa, ya, mengapa tidak.
0 comments:
Post a Comment