Tuesday 11 February 2014



Genre : Drama/Aksi [1]
Arahan : Dain Said


Kos : RM1.81juta
Pelakon : Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Bront Palarae, Namron, 

Soffi Jikan, Hushairy Husin, Amerul Affendi, Tengku Azura

Tahun : 2012

Filem Seumpamanya : Jogho

Rating : 4.5/5

Sinopsis seperti dalam website Bunohan :

Bunohan mengisahkan kisah tragik antara tiga adik-beradik Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Adil @ Bunga Lalang (Zahiril Adzim) di samping bapanya yang uzur, Pok Eng (Wan Hanafi Su). Masing-masing terpisah dengan cerita tersendiri sebelumnya.

Berlatarbelakangkan kawasan di sempadan di selatan Thai dan Malaysia; kampung Bunohan, bermula dengan Adil pelarian peninju Tomoi yang menjadi buruan penganjur tinju haram kerana Adil lari dari pertandingan oleh sebab hampir tewas, yang dibantu oleh kawannya sejak kecil, Muski (Amerul Affendi).

Ilham seorang pembunuh upahan yang hampir 20 tahun tidak pulang ke kampung halamannya, Bunohan walaupun ibunya meninggal dunia (pernah kerja di atas kapal dan ke serata dunia). Ilham diupah oleh bos penganjur tinju haram Siam dengan di awasi Deng (Bront Palarae). Sementara itu, Bakar asalnya seorang guru, yang juga abang Adil pulang dari kota untuk menjaga ayahnya Pok Eng seorang Tok Dalang wayang kulit. Niat Bakar bukanlah suci tetapi ada hajat terselindung iaitu untuk memilik tanah ayahnya seluas 30 ekar di tepi pantai untuk dijual kepada pemaju bagi tujuan resort.
 
Kepulangan tiga orang adik-beradik itu akhirnya menimbulkan segala macam memori sedih sewaktu tinggal di Bunohan. Kepulangan Ilham mendorong dia untuk menjejaki kubur ibunya, Mek Yah (Azura) isteri pertama Pok Eng iaitu di tanah milik Pok Eng di tepi pantai tersebut. Dia hampir terlupa akan tujuan asalnya iaitu menyelesaikan Adil yang kemudiannya disedari adalah adik tirinya sendiri. Setibanya di Bunohan, Adil yang di bawah jagaan Pok Wah (Namron) berusaha menyelamatkan kelab tinju lama milik Pok Wah.
Masa berlalu dan Bakar terdesak untuk mendapatkan tanah itu. Walau bagaimanapun, Pok Eng tetap berpegang janjinya dengan Mek Ani (ibu Bakar dan Adil, isteri kedua Pok Eng) untuk menyerahkan tanah itu kepada Adil suatu hari nanti. Ini mendatangkan marah si Bakar dan membuatkan dirinya tertekan dengan perjanjian perniagaan dengan pemaju dari bandar. Pendirian teguh ayahnya terhadap janji itu, menjadikan Bakar dapat mengesan yang Adil dan dirinya bukanlah saudara sedarah sedaging. Lalu Adil terdorong untuk mengetahui kisah sebenar tentang siapa dirinya.
 
Ilham mendapati tengkorak mayat ibunya dan tengkorak mayat-mayat lainnya yang ditanam di tanah 30 ekar di tepai pantai itu telah dialihkan oleh orang pesuruh Bakar. Deng kini pula ditugaskan untuk mengawasi Ilham kerana gagal menurut perintah. Adil pula bersedia untuk perlawanan penentu bagi menyelamatkan gelanggang tinju Pok Wah seterusnya menebus semula tanah ayahnya. Bakar sekadar memerhati dari jauh dan tidak sabar untuk segala-galanya berakhir seperti apa dicitanya.

Bakar yang tamak 
Pok Eng
Kata PF :

Menyaksikan Bunohan adalah sesuatu yang benar-benar baru di alam sinema Malaysia. Rasanya tiada filem yang hampir dengannya. Jika adapun mungkin PGL (Saw Teong Hin) atau Jogho (U Wei Hj. Shaari). Tetapi jika banyak menonton filem art house dari Barat, anda tak rasa janggal sebenarnya dengan cara penyampaian Bunohan. Ceritanya betul-betul asli. Pengarah Dain Said (DUKUN) yang mendapat ilham yang dari tempat tinggal asalnya di sempadan Tumpat yang terkenal dengan cerita-cerita peninju tomoi, aktiviti penyeludupan yang diceritakan oleh ayahnya seorang Polis yang menjaga sempadan.

Bunohan kaya dengan sifat artistik, penonton kena bijak mentafsir setiap metafora yang cuba dipaparkan. Dialognya boleh dikatakan 100% adalah dialek Kelantan dan PF bergantung sepenuhnya pada subtitle. Ketika filem melayu di pasaran dipenuhi bahasa rojak, tetapi Bunohan mengangkat dialek Kelantan sepenuhnya. Jika anda mengharapkan filem ini penuh dengan aksi tomoi, pergaduhan dan pembunuhan, anda silap kerana semua itu bukanlah intinya. Bukan sebaris dengan KL Gangster. Malah aksi perlawanan atau fighting scene tidaklah terlalu hardcore tapi real. Ini mungkin membuatkan sesetengah peminat kecewa. Bunohan lebih banyak kepada drama keluarga, ketamakan dan kesayuan.

Bagaimana 3 watak bergerak dan develop seiring sangat berkesan. Bukan banyak filem Malaysia yang tertumpu pada 3 watak penting sekaligus atau ensemble. Faizal Hussein paling menonjol. Manakan tidak, ia di samakan dengan Jack Palance oleh wartawan barat (John Anderson - Variety) ketika festival Filem Toronto yang lalu. Ilham memang sangat cocok di tangan Faizal. Cara mengelar leher pun bukan sebarang gayanya. Malah dengan lawi ayam alat tradisional bukan dengan senjata bahan api jika senang nak membunuh. Malahan semua pelakon memang hebat! Dari watak sekecil-kecil Gasi yang tiada dialog tu (Eyzendy - Seru) hingga ke Pok Wah (Wan Hanafi Su) anda takkan rasa cacat pada teknik lakonan Bunohan. Pelakon yang asing di mata PF iaitu Jolok (Hushairy Husin) sangat Kelantan wajahnya memang padan dengan wataknya. Pekin Ibrahim yang pertama kali membawa watak yang besar dalam filem sangat meyakinkan dalam tenang. Dalam sebersih-bersih pakaian Bakar bukan mengambarkan dalamannya.

Pernahkah anda terbayang paya bakau yang kotor itu nampak cantik dalam filem? Sangat gelap airnya segelap alam kampung Bunohan? Sinematografi paya bakau pada waktu malam amat cantik! Babak tengkorak-tengkorak dalam perahu amat ‘mahal’ seakan pembawakan nyawa yang mudah diangkut ke sana ke mari sama saja nilai nyawa di tangan Ilham. Babak jasad Ilham dan bangau yang terbang slow motion ke arah Ilham seakan dalam filem ANTICHRIST. Babak ini amat digemari PF tapi sayang sekejap sangat. Muzik latar hanya dengan menggunakan muzik tradisional di Kelantan (mungkin yang digunakan masa pertunjukan wayang kulit) menambahkan mood misteri pada cerita. Kenapa tiba-tiba terlihat Mek Yah berdiri berlatarbelakangkan piramid? Mek Yah kononnya mewakili firaun yang ditanam di dalam piramid untuk ‘hidup’ selamanya. Sebab itulah Ilham mengambil tengkorak ibunya yang bercampur dengan yang lain untuk ditanam semula ke tempat asalnya supaya rohnya abadi di tempat ibunya disemadikan.

Dain Said cuba memasukkan kisah mistik di tempat asalnya iaitu buaya dalam paya ke dalam diri Mek Yah sesuatu yang unik dan menimbulkan mistikal dan tanda tanya yang indah. (Mek Yah dahulunya adalah bomoh/merawat pesakit, menjelma sebagai buaya dalam ilmu merawat penyakit). Kisah sedih Mek Yah yang duduk bersimpuh di depan rumahnya itu, menutup dengan baik kisah hidupnya dan Pok Eng kepada audien. Itu saja watak Mek Yah bersuara. Sekali berkata-kata, kita dapat rasakan kesedihan yang ditangggung Mek Yah selama ini. Pok Eng pula walaupun tak berapa rapat dengan anak-anaknya tapi dia memahami benar sikap anak-anaknya. Padanya, hanya Adil saja diletakkan harapan.   

Jelmaan Mek Yah semasa mudanya
Adil dan Muski
Terima kasih kepada pengarah fotografi, Charin Pengpanich (Karaoke - 2009) yang meninggalkan kesan kepada sinematografi yang menakjubkan. Bunohan sebenarnya menyambung gerak tema filem art (walaupun kita tahu semua filem adalah art) yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad, Liew Seng Tat dan beberapa lagi yang lain, ke satu tahap ke hadapan. Filem sebegini hanya muncul sesekali dalam beberapa tahun di Malaysia. Jadi, patutkah anda membiarkannya begitu saja? Pendek kata the local greatness movie has truly arrived!

p/s : Adakah layar yang terkoyak adalah simbol pesanan kepada penggiat dan pengkarya sinema kita? Jawapan di tangan pengkarya dan juga anda!

Fakta Bunohan :

> Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain Said sendiri dan diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.

> Bunohan diambil dari nama sebuah kampung di sempadan Thailand dekat Kelantan (Tumpat), sempadan wilayah Narathiwat Thailand. Dikenali dgn nama “tanah jahat”. Berlaku banyak pertelingkahan rakyat Thailand yang menyebabkan pembunuhan.

> Ada berpendapat dulunya di zaman Jepun berlaku banyak pembunuh, jadi nama singkatan Bunohan.

> Terdapat pepatah mengenai kampung Bunohan “menghina seseorang dari kampung Bunohan adalah sama seperti menghina penduduk sekampung”.

> Kampung tersebut juga merupakan tempat asal ritual pemulihan tradisional yang dikenali sebagai “Main Puteri”, sebuah upacara yang dilangsungkan untuk mengusir roh-roh yang dipercayai sebagai punca penyakit psikologi.

0 comments:

Post a Comment