Tuesday 11 February 2014



FLIGHT 'berlepas' dengan babak pembukaan yang cukup mendebarkan. Tiga puluh minit pertamanya membuatkan penonton sesak nafas, membayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi cemas lagi menakutkan itu.
Denzel Washington memainkan peranan juruterbang bernama Whip Whitaker yang harus menyelamatkan penumpang dari nahas kapal terbang terhempas.
John Gatins selaku penulis lakon layar bersama pengarah Robert Zemeckis (Forrest Gump, 1994) memperincikan setiap detik, lengkap dengan terma-terma penerbangan, membuatkan penonton bingung dan tidak senang duduk.
Kerja kamera yang bergegar membayangkan kapal terbang berada dalam keadaan terumbang-ambing dan sedang menjunam ke tanah. Bagasi berterbangan, penumpang berteriak dan anak-anak kapal sendiri panik.
Whitaker mengambil risiko untuk menterbalikkan kapal terbang dalam pusingan 360 darjah sebelum mendarat di sebuah padang.
Babak ini antara yang paling mengujakan dan mampu menjadi antara adegan paling ikonik di Hollywood.
Enam terbunuh termasuk dua pramugari, manakala yang lain selamat walaupun mengalami kecederaan. Whitaker dimasukkan ke hospital untuk rawatan, namun sedikit malang buat pembantunya yang koma dan patah anggota badan.
Sebaik saja babak kapal terbang terhempas selesai, mood filem ini serta-merta berubah. Ia bukan lagi sebuah filem aksi atau thriller seperti yang anda bayangkan berdasarkan treler.
Sebaliknya, Flight ialah sebuah drama gelap yang menganalisa karakter Whitaker sebagai kaki mabuk dan penagih. Laporan kesihatan mendapati sistem badannya menampung jumlah alkohol dan kokain dalam kuantiti yang besar.
Dia boleh dihukum penjara seumur hidup sekiranya tahap toksik di dalam badan menjadi punca kecuaian dan tragedi. Siasatan demi siasatan dijalankan dan Whitaker harus menerima hakikat bahawa dia seorang yang membahayakan.
Filem ini mengingatkan saya kepada filem terawal arahan Zemeckis, Cast Away (2000). Ia bermula dengan 'nada' yang besar, huru-hara dan mengejutkan, tetapi perlahan-lahan bertukar mood menjadi sebuah drama psikologi yang cuba mendalami dan memahami perasaan watak utama.
Flight mendekati kisah seorang lelaki yang tidak mampu menahan ketagihannya, yang menghantui hidupnya bertahun-tahun lamanya.
Rumah tangganya juga berantakan kerana kelakuan itu. Latar belakang Whitaker membuatkan penonton berada dalam dilema, sama ada mahu menyebelahi atau membenci.
Selama mana dia ingin menjadi pemabuk dan menafikan dia penyebab kapal terbang hampir terhempas? Walau mungkin insiden itu disebabkan faktor teknikal, sanggupkah dia selamanya meletakkan nyawa para penumpang dalam risiko di atas ketagihannya?
Gatins berjaya menulis skrip yang dinamik dengan naratif yang bermain dengan konfrantasi dalaman. Penonton turut terlibat dalam krisis dan perjuangan mental Whitaker, menjadikan filem ini seakan perhubungan dua hala.
Selepas sekian lama menumpukan projek filem-filem animasi, antaranya The Polar Expres (2004) dan A Christmas Carol (2009), Zemeckis menghasilkan semula filem yang melibatkan manusia sebenar sebagai pelakon.
Kembalinya Zemeckis tidak mengecewakan. Stail pengarahannya tetap kemas dan efisien, meskipun jalan cerita ini, jika silap ditangani, mempunyai kecenderungan untuk membuatkan penonton bosan.
Dia membuat keputusan yang tepat apabila meletakkan Washington sebagai peneraju. Setiap pergerakan, tutur kata dan mimik mukanya adalah Whitaker dan sangat meyakinkan.
Pembangunan watak Whitaker dikendalikan Washington dengan baik.
Ada masanya penonton bermohon agar dia cepat dihukum kerana degil untuk berubah, tetapi ada masanya penonton bersimpati melihat linangan air matanya dan berharap dia diberikan peluang.
Lingkungan emosinya bertukar-tukar, di antara sifat seorang duda pemabuk yang sentiasa gembira dengan lelaki yang kesedihan kerana sedar diri tidak berguna.
Selayaknya Washington menerima pencalonan Oscar yang keenam menerusi filem ini, selepas kali terakhir menang Aktor Terbaik dalam Training Day (2002).
Melengkapi persembahannya ialah Don Cheadle sebagai peguam yang cuba menyelamatkan Whitaker, juga kemunculan John Goodman yang komikal walaupun hanya dalam dua babak.
Goodman memberi 'kelegaan' sebentar kepada susur cerita yang menekan, meletakkan dia sebagai seorang aktor yang boleh diharapkan untuk watak yang kelihatan tidak penting, tetapi perlu.
Bagaimanapun, terdapat babak atau subplot yang saya rasakan agak longgar.
Saya tidak begitu percaya bagaimana seorang juruterbang dengan 20 tahun pengalaman boleh tertarik dan dapat mencari persamaan dengan seorang penagih wanita yang tidak mempunyai kehidupan stabil.
Saya tidak pasti jika peranan Nicole itu yang agak mendatar atau lakonan Kelly Reilly yang membosankan. Keserasiannya dengan Washington kurang menjadi, membuatkan saya tidak begitu peduli dengan nasib Nicole berbanding Whitaker.
Saya sukakan penamat filem ini. Walaupun menepati jangkaan, ia sangat tulus dan menampilkan kebenaran selama mana seseorang itu mampu berbohong kepada diri sendiri.

0 comments:

Post a Comment