Friday 28 February 2014





PADA era Great Depression, Jacob Jankowski dilihat mempunyai masa depan yang cerah. Dia bakal menamatkan pengajian di kolej berprestij dalam jurusan veterinar, seterusnya mempunyai kehidupan yang stabil.

Bagaimanapun, Tuhan merencanakan yang sebaliknya apabila ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan semasa dia menduduki peperiksaan akhir.

Tidak layak menetap di rumah sendiri kerana bapanya menanggung hutang, Jacob bergelandangan sehinggalah dia mencuri naik sebuah gerabak keretapi yang mengubah destinasi kehidupannya.

Keretapi itu adalah keretapi kumpulan sarkas Benzini Brothers yang dimiliki August dan isterinya, Marlena yang merupakan penghibur utama.

Ilmunya mengenai haiwan melayakkan dia bekerja dengan pasukan itu. Namun dia tidak mampu menolak perasaan cinta terhadap Marlena dan secara senyap, menjalinkan hubungan di belakang August, lelaki yang sanggup melakukan apa saja demi wang dan kuasa.

Water For Elephants adalah kisah cinta Titanic (1997) di atas keretapi. Bukan saja kerana isinya tentang asmara dua insan berlainan kasta, tetapi filem ini bermula dan berakhir dengan olahan serupa. Menerusi teknik imbas semula yang linear, saya dapat menangkap persamaan di antara dua filem tersebut.

Sesuatu yang menyegarkan mengenai Water For Elephants ialah latarnya yang berlegar dalam dunia sarkas, satu tema yang semakin terpinggir di sebalik lambakan adaptasi komik superhero atau filem sambungan dan bikin semula.

Rasanya kali terakhir saya menonton filem mengenai dunia sarkas ialah Big Fish (2003) arahan Tim Burton.

Barangkali kerana itu, saya lebih seronok mengikuti kisah survival Benzini Brothers untuk menjadi kumpulan sarkas terunggul, berbanding kisah cinta Jacob dan Marlena. Tambahan pula dengan lakonan cemerlang pemenang Oscar, Christoph Waltz yang menggalas peranan August sebaiknya.

Penonton dibawa merasai kesengsaraan yang terpaksa dihadapi pasukan itu, di sebalik cahaya terang dan warna-warni pentas sarkas. Bagaimana mereka gusar dan takut dengan kepimpinan August yang sering membuat keputusan di luar batas kemanusiaan, demi memastikan Benzini Brothers terus bergerak.

Seperti wataknya dalam Inglourious Basterds (2009) dan The Green Hornet (2011), dia menampilkan sisi yang selesa pada awalnya sebelum menunjukkan kejahatan.

Kebijaksanaan Waltz ialah memberikan dimensi kepada watak August. Ada ketika penonton dapat merasai betapa dia terdesak akan kehilangan isteri dan syarikatnya.

Kepada mereka yang sangsi dengan kemampuan Robert Pattinson, dia bukan lagi pontianak ‘kayu’ seperti dalam saga Twilight (2008). Dia tidak hebat, tetapi sekurang-kurangnya mampu mempamerkan spektrum emosi seorang lelaki yang cuba mencari arah hidup.

Raut tampan dan sifat budimannya membuatkan penonton mahu terus mengikuti filem ini.

Sebaliknya, Reese Witherspoon sekadar mengisi tempat kosong untuk watak heroin. Dia kelihatan kurang selesa sebagai primadona sarkas. Gerak lakunya janggal, begitu juga dengan babak-babak romantis di antara Marlena dan Jacob yang seakan tidak asli.

Sebagai peraih Oscar, semestinya Witherspoon punya pesona dan keupayaan, tetapi dia tidak bersinar dalam Water For Elephants. Keserasian di antara Jacob dan gajah bernama Rosie lebih dirasai. Penulis skrip, Richard LaGravenese (P.S. I Love You, 2007) bijak membina hubungan unik di antara dua mamalia tersebut.

Ada minit-minit filem ini kehilangan genggaman, membuatkan penonton mahu cepat berakhir. Apatah lagi ia berjalan tanpa sebarang kejutan dan boleh dibaca seperti kebiasaan novel cinta.

Begitupun, sebagai peminat filem tanpa CGI melampau, saya berterima kasih kepada Francis Lawrence (I Am Legend, 2007).

Dia mengembalikan pengalaman tontonan filem-filem klasik Hollywood yang mudah, ringkas dan menghiburkan. Nilai produksinya tinggi dengan sinematografi, set dan kostum yang cantik serta skor muzik James Newton Howard yang efektif.

0 comments:

Post a Comment