Wednesday 10 July 2013

Power Bar dan Penurunan Berat Badan
Power Bar atau Protein Bar adalah sejenis makanan pemberi tenaga yang mempunyai kandungan protein yang tinggi. Sekali pandang, ia kelihatan seperti kepingan atau wafer coklat yang biasa namun Protein Bar adalah pilihan yang sihat dan mudah bagi mereka yang ingin menghadkan pengambilan lemak dan kalori serta ingin mengurangkan berat badan yang berlebihan. 


Untuk mengurangkan berat badan, kita perlu lebih banyak membakar kalori daripada mengambilnya. Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan pengambilan makanan berkalori dan berlemak. Oleh itu, apabila perut terasa lapar di antara waktu makan utama, lupakan coklat, burger atau donat kegemaran anda. Sebaliknya amalkan pengambilan Protein Bar sebagai snek. Ianya bukan sahaja dapat memuaskan rasa lapar malah turut membekalkan keperluan nutrien harian yang diperlukan untuk mengurangkan berat badan. Selain itu, kandungan protein di dalamnya juga akan memberikan rangsangan tenaga kepada kita bagi meneruskan aktiviti harian serta kekal fokus.


Sebelum membeli, pilih Protein Bar yang mengandungi kandungan lemak, kalori dan gula yang seimbang dan sesuai dengan kandungan protein dan nutrien lain. Baca label bungkusan dan pilih produk yang mengandungi sekurang-kurangnya 25 g protein dan gula di bawah 10 g. Elakkan dari membeli produk yang mengandungi lemak tepu (saturated fat). 


Selain itu anda juga perlu mengenalpasti jenis Protein Bar yang sesuai. Ada Protein Bar yang berfungsi sebagai pengganti hidangan dimana ia dimakan bagi mengganti hidangan utama seperti makan tengahari atau malam. Protein Bar begini tidak boleh dimakan sebagai snek kerana kandungan kalorinya lebih tinggi.


Protein Bar juga mestilah dimakan pada saiz hidangan yang betul. Biasanya satu keping adalah untuk satu hidangan. Walaupun begitu periksa dahulu maklumat pemakanan pada label bungkusan untuk memastikan jumlah hidangan yang ada dalam satu keping. Sekiranya anda makan lebih daripada satu hidangan, anda akan mengambil lebih banyak kalori dan lemak daripada yang anda perlukan. 


Sebaik-baiknya makanlah Protein Bar bersama makanan lain yang rendah kalori dan lemak agar hidangan anda lebih sihat dan sesuai untuk penurunan berat badan. Makanlah bersama sepotong buah atau bersama hirisan sayur-sayuran yang ditabur dengan sedikit sos rendah lemak. Untuk menurunkan berat badan, pastikan setiap hidangan anda mengandungi kalori yang mencukupi kerana bila perut terasa terlalu lapar, kita akan cenderung untuk mengambil makanan yang tidak sihat. 

0 comments:

Post a Comment