Wednesday 22 January 2014

Membongkar Rahsia Kaum Lelaki Dalam Laga


Pengarah:  Ismail Yaacob
Pelakon:  Syazwan Zulkifly, Tyas Mirasih, Wan Hanafi Su, Marsha Milan, Eman Manan, Nasir Bilan Khan, Rosyam Nor, Eyzendi Aziz, Yus Jambu, Putri Mardiana, Ruminah Sidek & Zaidi Omar
Penerbit: Business Leader Film Production (M) Sdn. Bhd
Genre: Aksi & Drama
Tarikh Tayangan: 24 Jan 2014
Imbasan Awal
Filem Laga mengisahkan kisah laga ayam haram (sabung ayam). Sepasukan polis dari balai polis Rantau Panjang, Kelantan yang diketuai Inspektor Rosyam telah membuat serbuan ke atas satu pertandingan laga ayam haram yang baru hendak bermula. Merangkumi jalan cerita yang menunjukkan kecenderungan kaum lelaki tempatan mengikuti aktiviti ini, ia turut diselitkan dengan rahsia-rahsia kaum lelaki yang jarang dikupas dalam filem lain. Selain daripada cuba untuk memberi tauladan kepada generasi kini mengenai laga ayam, ia tetap memberikan pengajaran melalui perspektifnya yang tersendiri.
Ulasan Penulis
Daripada awal lagi penulis sudah menantikan kemunculan filem Laga kerana ia dibarisi semua pelakon yang berwibawa dan setiap mereka mempunyai rentak yang akan serupa bila menjiwai watak. Eman Manan, Wan Hanafi Su, Nasir Bilal Khan adalah pelakon yang disegani dek kerana ilmu serta mutu lakonan mereka dan corak filem ini juga pastinya garapan Ismail Yaacob, pengarah berpengalaman mengaulkan semua menjadi filem yang mungkin mencapai tahap pencalonan Oscar.
Walaupun tidak meleset telahan awal ini, daripada segi olahan jalan cerita sehinggalah perkembangan watak ia nyata memperlihatkan hasil kerja mereka yang berpengalaman tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaharui dari segi konti dan praktikaliti kerana ia mencacatkan beberapa adegan hingga mengganggu penghayatan apabila teringatkan solekan watak tukang urut serta pakaian yang dikenakan oleh Tyas Mirasih seakan keterlaluan membawakan watak masing-masing.
Untuk babak yang agak panas dan menonjolkan adegan ranjang dan sebagainya ia dilaksanakan dengan baik dan tiada unsur yang berlebih-lebih hingga menonjolkan sisi seksual untuk Laga. Walaupun mungkin ramai merasakan ia mempersembahkan cerita di tempat tidur namun itu merupakan realiti yang berlaku dan pengarah mahu menyampaikan mesej mengenai ketaatan isteri terhadap suami.
Ia juga ingin menjelaskan bahawa Hassan Laga walaupun sudah berusia namun tidak mempunyai masalah untuk memperisterikan wanita muda kerana dia mampu untuk memberikan segala yang diperlukan seperti nafkah batin khususnya. Kesimpulannya, perkembangan watak serta jalan cerita kemas dan berjaya menterjemahkan komuniti sebuah kampung yang menjalankan aktiviti melaga ayam dengan karektor-karektor yang kuat menjayakannya.
Bermulanya episod konflik didalam Laga, daripada kisah suami mempertaruhkan isteri dek kerana maruah hinggalah kisah percintaan yang dihalang, Laga turut mengumpan penonton dengan tabiat manusia yang suka melaga-laga diantara satu sama lain. Terlalu banyak konflik yang ditimbulkan dan ia ditamatkan dengan begitu sahaja seperti matinya watak utama Hassan Laga seolah-olah jalan mudah untuk menamatkan cerita.
Secara kasarnya filem Laga tidak boleh dinilai daripada budaya yang ingin ditonjolkan kerana ilmu itu tidak semestinya datang daripada perkara yang positif sahaja. Aktiviti melaga ayam bukan sahaja menjadi ikutan budaya Melayu tetapi seluruh dunia berkongsi tradisi yang sama. Jika ingin mencari tontonan baru yang dilengkapi adegan suspen serta sedikit ilmu dan mesej, Laga membawa anda menerima karya baru dari hasil garapan orang lama yang ingin berkongsi idea dan cerita yang mungkin generasi baru tidak terfikir untuk menghasilkan menjadi filem.
Sinopsis
Filem ini mengisahkan senario di sebuah kampung yang amat menggilai permainan sabung ayam sehingga melibatkan bunuh-membunuh dan pertaruhan isteri. Wan Hanafi Su yang memegang watak Hassan Laga adalah punca segala perbalahan yang berlaku di kampung tersebut.
Dia merupakan seorang kaki judi tegar yang gemar menghisap rokok. Kehidupannya penuh dengan gelak tawa bersama rakan judi yang lain. Tampak luarannya dia seperti ganas namun bila bersama isteri segalanya bertukar menjadi lembut. Hassan Laga mempunyai seorang isteri yang cantik jelita iaitu Ayu (Marsha Milan Londoh).
Di atas desakan, Dasuki (Nasir Bilal Khan) menyuruh Ayu menjadi taruhan. Dasuki pernah mengintai AYU di rumah Hassan Laga membuatkannya hilang sabar dan mencabar kelelakiannya.
Maya (Tyas Mirasih) baru tiba ke kampung SabrI (Syazwan Zulkifli) kerana melawat makciknya. Akhirnya, Sabri berjaya memaut hati Maya dan membawanya lari dari kampung tersebut kerana tindakan Sabri yang tidak sengaja membunuh Hassan Laga.
*Kredit: murai.com

0 comments:

Post a Comment