SAYA tidak pernah menyedari Ben Stiller mempunyai sepasang mata berwarna biru
yang sangat cantik sehinggalah saya menyaksikan babak pembukaan filem The Secret
Life of Walter Mitty. Dan saya juga menyedari bahawa Stiller sebenarnya
berkemampuan untuk mengarahkan filem yang baik jika dia mahu.
Diinspirasikan
dari cerpen tulisan James Thurber pada tahun 1939, filem ini mengisahkan Walter
Mitty yang bekerja di jabatan negatif filem untuk majalah Life. Walter
bertanggungjawab untuk memproses gambar-gambar yang hebat dari serata dunia,
namun dia sendiri tidak pernah merantau ke mana-mana.
Baharu menyambut ulang
tahun yang ke-42, dia merasakan satu keinginan yang kuat untuk keluar dari
kepompong selesa. Desakan itu timbul dari hasratnya untuk memikat rakan sekerja,
Cheryl Melhoff. Lebih dari itu, dia berada di ambang kehilangan kerja apabila
syarikatnya beralih kepada pentadbiran baru.
Pengembaraannya bermula apabila
dia nekad untuk mencari sekeping negatif yang hilang yang dikirimkan oleh
jurugambar terkenal, Sean O’Connell. Negatif itu amat penting kerana ia bakal
dijadikan kulit majalah untuk edisi terakhir versi cetakan sebelum Life
diterbitkan sepenuhnya dalam versi digital.
Menjejaki Sean yang hidup
berkelana, Walter akhirnya merasai pengalaman yang tidak pernah dibayangkan
sebelum ini. Menaiki helikopter di Greenland, berenang bersama jerung, melihat
gunung berapi meletus di depan mata dan memanjat Gunung Himalaya, Walter menemui
perspektif baharu dalam hidupnya.
Walter bukanlah satu karakter yang
kompleks. Dia sama seperti kita semua yang menyimpan begitu banyak impian tetapi
ada masanya terlalu takut untuk melakukan sesuatu yang dirasakan di luar
kemampuan. Ini yang menjadikan watak itu dekat dengan penonton dan kita selesa
untuk mendampinginya.
Sinonim dengan komedi slapstik atau watak lelaki yang
sering diperlekehkan, Stiller memberikan Walter satu nafas baharu. Sepasang mata
birunya yang cantik itu melengkapi ‘kesayuan’ karakter ini, dalam masa yang
sama mempamerkan kekuatannya untuk terus berjuang.
Selain berlakon dan
mengarah, Stiller turut bertindak sebagai penulis lakon layar bersama Steve
Conrad (The Pursuit of Happyness, 2006). Tidak dinafikan filem ini mempunyai
sedikit kelemahan dari aspek nada naratifnya, terutamanya pada bahagian ketiga
filem yang dirasakan kurang seimbang.
Bermula dengan sedikit humor ala Ally
McBeal (semasa adegan-adegan Walter berangan-angan) pada dua bahagian pertama,
bahagian ketiga dirasakan sedikit janggal. Stiller dan Conrad seakan mencuba
untuk kelihatan serius kerana apa yang dipaparkan bukan lagi fantasi, sebaliknya
kehidupan sebenar Walter.
Namun itu bukanlah masalah besar. Filem ini
diselamatkan dengan sinematografi yang menawan. Peralihan dari kota metropolitan
New York (yang diberikan sedikit nafas retro) kepada kehidupan lasak Walter
dalam pelbagai landskap dunia juga dilakukan dengan begitu baik.
Meskipun
beberapa dialognya dirasakan klise, kekurangan itu segera dimaafkan menerusi
visual yang bersesuaian dengan skor muzik dan lagu-lagu latar. Penyatuan
elemen-elemen ini dalam pola yang tersusun menghasilkan sebuah pengalaman
menonton yang harmoni dan menyenangkan.
Sebagai bintang utama, The Secret
Life of Walter Mitty adalah kerja Stiller yang terbaik setakat ini. Pada usia
sebenarnya yang mencecah 48 tahun, persembahannya dalam filem ini amat
bertenaga, ibarat seorang kanak-kanak berusia belasan tahun yang pertama kali
mengunjungi taman tema.
Kristen Wiig sebagai Cheryl melakukan apa yang
sepatutnya, begitu juga dengan Adam Scott sebagai ketua baharu di pejabat iaitu
watak antagonis yang tidak cuba untuk membayangi karakter Walter.
Sementara
itu, penampilan Shirley MacLaine sebagai ibu, Sean Penn sebagai jurugambar Sean
dan Patton Oswalt sebagai rakan telefon dari laman sosial merupakan ramuan tambahan yang menjadikan filem ini bertambah sedap.
The
Secret Life of Walter Mitty merupakan filem yang tepat untuk mengakhiri tahun,
sekali gus membuka tahun baharu. Ia memberikan inspirasi untuk kita semua
berdepan dengan pelbagai kemungkinan dengan semangat yang positif.